Kerjaya Keroz Nazri

2010: Keynote dan awal kemunculan

Keroz Nazri memulakan karier seninya pada tahun 2010, iaitu dengan menyertai Keynote, iaitu sebuah program realiti TV terbaru terbitan Astro pada ketika itu dimana program tersebut bertujuan untuk mencari komposer-komposer muda dalam lingkungan 18-35 tahun. Beliau berjaya terpilih dan lagu hasil ciptaannya itu, "Suatu Hari Nanti" nyanyian Alyah berjaya dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga di dalam program realiti TV tersebut. Pada 2011, Keroz merakamkan semula lagu tersebut sebagai lagu single pengenalannya dalam industri nyanyian seni tanah air, dan lagu tersebut menjadi popular dan dijadikan sebagai runut bunyi filem Azura pada tahun 2012.

2013-kini: MasterChef Selebriti Malaysia, Akademi Fantasia dan perkembangan terkini

Pada tahun 2013, beliau menyertai satu lagi program realiti bertemakan masakan, iaitu MasterChef Selebriti Malaysia musim yang kedua. Namun begitu, rezeki tidak berpihak kepadanya kali ini apabila masakan beliau dikritik hebat oleh para juri dan hal itu membuatkan beliau menjadi peserta kedua tersingkir didalam program tersebut. Pada tahun yang sama juga, Keroz Nazri telah menciptakan sebuah lagu berjudul "Sesaat Untukku", iaitu khas untuk finalis Akademi Fantasia 2013, Amira Othman dan lagu tersebut berjaya menduduki tempat ketiga. Kini, beliau aktif menyanyi dan mencipta lagu untuk dirinya sendiri serta turut aktif mencipta lagu untuk artis-artis lain.